KRITIKAN KARYA
Becoming King ..The Pakyung Revisited- Joseph Gonzales |
Fakulti Tari Aswara|
11 - 14 Disember 2014|DPAC
Black Box
“Becoming King ..The Pakyung Revisited” telah dipentaskan pada 11
– 14 Disember 2014 di Damansara Performing Art Centre oleh pelajar fakulti tari
ASWARA. Karya ini telah dicipta dan diilhamkan oleh seorang koreografer iaitu
Joseph Gonzales, juga merupakan seorang dekan fakulti tari dan pensyarah di
ASWARA. Minat beliau terhadap persembahan makyung yang mendalam sejak beliau
menjadi pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada tahun 1994. Beliau juga
mengenali persembahan makyung dari seorang tokoh budaya Negara iaitu
Khatijah Awang atau lebih dikenali dengan gelaran Mak Jah. Minat beliau terhadap
persembahan makyung ini telah memberikan inspirasi kepadanya untuk menghasilkan
sebuah karya yang berbentuk dan bersifat kontemporari tradisional. Maka,
lahirlah karya beliau yang bertajuk Becoming
King ..The Pakyung Revisited.
Di dalam persembahan karya
beliau pada 12 Disember 2014, yang mana saya sendiri menyaksikan persembahan
tersebut. Pada permulaan persembahan dengan keadaan pentas yang kosong,
terdapat enam penari utama memasuki ke ruang pentas berpakaian t-shirt
berlainan warna seperti warna hijau, merah jambu, kuning, oren, ungu dan biru.
Kesemua penari telah berdiri di sebelah kiri ruang pentas dengan melakukan
gerakan yang bertenaga dan pantas.
Gerakan tersebut telah disulamkan dengan gerakan yang diolah daripada gerakan mengadap rebab.
Di dalam fasa permulaan
ini, gerakan yang dilakukan oleh kesemua penari adalah sesuatu gerakan yang
berulangan di bawah cahaya lampu yang membulat besar di ruang kiri pentas
sehingga cahaya lampu menjadi kecil. Pada penilaian saya, gerakan yang mereka
lakukan adalah sesuatu perkara rutin di dalam kehidupan yang perlu dilalui oleh
setiap makhluk di muka bumi ini. Tetapi gerakan yang dilakukan secara
berulangan itu oleh kesemua penari membosankan pada pandangan saya kerana
terlalu panjang durasinya. Bagi pedapatan serta pemerhatian saya, gerakan yang
dilakukan itu sangat menarik perhatian
dan tidak membosankan untuk ditonton. Tetapi yang menjadi masalah bagi saya
adalah durasinya yang terlalu panjang. Apabila kesemua penari di dalam cahaya
lampu yang kecil, mereka melakukan gerakan yang minimum dan perlahan. Di dalam
gerakan yang bersifat perlahan itu, terdapat beberapa gerakan berulangan yang
menarik yang saya faham tentang gerakan seperti memakai seluar dan baju.
Terdapat beberapa penari, ada kalanya telah jatuh dalam melakukan gerakan
tersebut dan menyambung semula gerakan ulangan tersebut. Pada pendapat saya,
gerak itu mengambarkan rutin kehidupan yang perlu dilalui dan ditentukan oleh
pencipta-Nya. Kehidupan yang perlu dilalui oleh mereka adakalanya sempurna dan
tidak sempurna, mereka perlu redha atas ketentuan-Nya.
Pada fasa ke-2
persembahan, di sebelah ruang kanan pentas di bawah cahaya lampu yang kecil,
terdapat seseorang yang berpakaian lengkap pakyung bersetanjak sambil memegang
rotan berai disisi pinggang kirinya. Pakyung tersebut telah mengeluarkan suara
seperti sebuah nyanyian yang tidak difahami bahasa loghatnya. Pakyung tersebut
telah menyanyi dengan lontaran suara yang lantang bersama ekspresi muka yang
menjadi tanda tanya siapakah gelaran beliau. Sementara 6 penari meneruskan
gerakan yang perlahan seperti tidak mempunyai semangat untuk memeruskan
kehidupan dan berdailog dalam bahasa loghat Kelantan. Kesemua penari bercakap
secara bersendirian dengan gerakan tidak berdaya di tengah ruang pentas.
Gerakan yang dilakukan oleh kesemua penari tersebut seolah-olah berada di dalam
situasi dan alam yang berbeza. Kesemua mereka berada di dalam bulatan cahaya
lampu menghadap pakyung yang masih menyanyikan lagu yang tidak difahami. Pada
tanggapan dan tafsiran saya, di dalam persembahan makyung yang asli, akan
berlaku sesuatu perkara transisi alam realiti ke alam ghaib. Dimana kesemua
penari berada di dalam alam ghaib yang sedang berdailog bersama pakyung, yang
mana pakyung tersebut sedang memulihkan semangat kepada mereka dengan
menggunakan rotan berai yang dipegangnya. Pakyung tersebut telah menggunakan
rotan berai pada setiap penari dengan menyentuhkan secara libasan yang kecil
kepada badan mereka. Pada penilaian saya, pakyung tersebut merupakan seorang
yang mempunyai kuasa dari sudut dirinya sendiri sebagai seorang raja dan mempunyai
kuasa ilmu untuk menyembuhkan atau memulihkan
semangat. Selain itu, rotan berai yang digunakan oleh pakyung juga menjadi
satu perlambangan kekuasaan kepada dirinya. Rotan berai yang digunakan juga
mempunyai kuasa untuk menyembuhkan atau memulihkan semangat melalui rotan berai
secara libasan sentuhan yang perlahan kepada tubuh kesemua penari tersebut.
Setelah itu, kesemua penari seperti kelihatan pulih dan mempunyai semangat baru
untuk meneruskan kehidupan seterusnya. Pakyung tersebut, sedikit demi sedikit
beransur secara perlahan beredar dari pentas meninggalkan 6 penari tersebut
dengan nyanyian yang masih diteruskan tanpa henti.
Setelah suara nyanyian
pakyung mula perlahan-lahan dan hilang dari pandangan, suasana menjadi normal
di dalam ruang pentas. Di dalam fasa yang ke-3 ini, terdapat beberapa penari
lain memasuki ruang pentas seramai sebelas orang memegang dan membawa rotan
berai setiap seorang. Kesemua penari di ruang pentas seramai 17 orang telah duduk bersilang kaki berhadapan
penonton. Kesemua penari melakukan gerakan dengan menggunakan rotan berai
seperti libasan yang dilakuan oleh pakyung. Gerakan yang dilakukan seolah
gerakan libasan rotan berai telah direkontraksikan gerakannya agar kelihatan
lebih menarik. Gerakan yang dilakukan oleh kesemua penari sangat menarik kerana
mempunyai persamaan dalam kuantiti yang ramai dan mempunyai tenaga yang sama
dalam melalukan gerakan tersebut. Pergerakan ini dilakukan secara berulangan
tanpa henti dan menjadi suasana yang riuh rendah suara mereka. Di dalam
melakukan gerakan yang tanpa henti oleh enam penari bersama sebelas penari yang
lain, terdapat salah seorang dari pada mereka telah berdiri serta-merta dengan
menghalakan rotan berai ke arah hadapan
di sebelah kiri ruang pentas. Penari tersebut adalah penari berbaju oren telah
menuju ke arah yang ditunjukan, lalu berdiri di bawah cahaya lampu yang kecil. Penari
berbaju oren tersebut telah memperkenalkan dirinya sebagai pakyung. Setelah
memperkenalkan dirinya, penari berbaju oren kembali semula dan duduk di tempat
asal dengan penari yang lain masih meneruskan gerakan rotan berai tanpa henti.
Begitu juga dengan lima penari yang lain akan melakukan perkara yang sama,
diikuti dengan penari berbaju kuning, biru, hijau, merah jambu dan ungu
memperkenalkan diri masing-masing dengan gaya tersendiri. Pada pemerhatian saya
dalam mereka memperkenalkan diri sendiri, terdapat pelbagai watak dan gaya
untuk mereka menarik perhatian penonton. Di dalam penilaian saya, siapakah yang
layak di antara mereka menjadi pakyung. Mereka seolah-olah berlawan dalam
memperkenalkan diri untuk menjadi menjadi pilihan sebagai pakyung.
Setelah kesemuanya memperkenalkan
masing-masing dan kembali ke tempat. Mereka meneruskan gerakan rotan berai
secara berulangan sehingga kesemua penari berdiri dengan menghalakan rotan
berai ke arah hadapan di sebelah kiri
ruang pentas, kemudian ruang pentas menjadi gelap. Keenam-enam penari utama
telah muncul di hadapan ruang pentas di dalam ruang lampu dengan watak dan
karekter masing-masing. Di dalam fasa ke-5 ini, saya telah membuat penilaian
tentang situasi ruang pentas. Di mana setiap penari utama mempunyai penyokong
dan di antara mereka seolah-olah berlawan untuk menjadi pempimpin dan siapa
yang terbaik di kalangan mereka. Setelah itu, di antara mereka telah membentuk
dua kumpulan dengan gerakan yang seumpama mengejek atau mengajuk di antara mereka untuk berlawan. Setiap kumpulan
mempunyai gerakan yang tersendiri dan berbeza di antara mereka. Setiap gerakan
yang mereka lakukan adalah gerakan yang berulangan. Setelah itu, kedua-dua
kumpulan ini bergabung menjadi satu kumpulan dengan mengikut gerakan kumpulan
masing-masing dalam arah yang berbeza. Pada pendapat saya, situasi ini seperti
sesuatu perkara yang berkaitan dengan
politik di Malaysia, yang mana terdapat dua pihak sedang bertelagah atau
bergaduh untuk mendapatkan kedudukan utama sebagai pemimpin.
Di dalam fasa ke-6 persembahan,
terdapat dua buah meja di ruang pentas kiri dan kanan seperti sebuah meja
mengudi. Bersama beberapa penari berpakaian seperti pakaian formal dan suasana
menjadi sunyi seketika. Apakah yang sedang berlaku dan akan berlaku
seterusnya?, menjadi tanda tanya kepada saya. Saya sendiri telah diberikan
sehelai kertas undian untuk mengundi siapakah yang layak di antara enam penari
utama. Mereka menjemput saya ke arah
meja untuk memangkah undian dan memasukan kertas undian ke dalam kotak undian
yang disediakan. Begitu juga dengan penonton yang lain, sedang beratur untuk
menunggu giliran mengundi di meja undian. Di dalam ruang pentas pada ketika itu
telah bertukar situasinya menjadi suasana mengundi seperti pada hari
pilihanraya di Malaysia. Setelah kesemua penonton yang membuat undian di meja
kembali ke tempat duduk masing-masing, tibalah keputusan undian untuk dikira.
Statistik keputusan di antara enam penari utama telah dipaparkan. keputusannya
berpihak kepada penari berbaju ungu dengan jumlah undian sebanyak 48 undian.
Diikuti dengan penari berbaju hijau (19), kuning (7), biru (7), merah jambu (5)
dan oren (2) undian. Pada pendapat saya selain undian yang diketahui, saya
dapat mengetahui berapa ramai penonton yang hadir pada malam persembahan
tersebut.
Pada fasa terakhir
persembahan, kesemua penari telah berhimpun untuk menyaksikan upacara penyerahan
mahkota setanjak kepada penari berbaju ungu oleh pakyung yang muncul dalam fasa
ke-2 persembahan tadi. Pakyung tersebut telah meletakan mahkota setanjak di
atas kepala penari berbaju ungu. Kemudian beliau menyentuhkan rotan berai
secara libasan perlahan kepada tubuh badan penari berbaju ungu tersebut. Maka,
penari berbaju ungu telah menjadi ketua untuk kesemua penari yang perlu
diikuti. Pada penilaian saya, pakyung tersebut seperti agung yang telah memberi
mandat kepada seorang pemimpin negara untuk menjalankan tugasan dan menjaga
rakyat dengan sebaik-baiknya. Setelah upacara penyerahan mahkota setanjak,
penari berbaju ungu mengetuai untuk menyanyikan nyanyian mengadap rebab
bersama-sama penari yang lain. Nyanyian tersebut dimulakan dengan suara pakyung
dan diikuti dengan penari berbaju ungu kemudian diikuti yang lain. Gerakan yang
dilakukan mereka adalah gerak rutin mengadap rebab di dalam persembahan
makyung. Selain juga terdapat beberapa penari berdiri dan keluar dari ruang
pentas ketika nyanyian sedang diperdengarkan. Kemudiannya pakyung sedikit demi
sedikit beransur keluar dari ruang
pentas meninggalkan kumpulan tersebut. Sehinggalah nyanyian mengadap rebab
selesai dan ruang pentas menjadi gelap. Saya beranggapan bahawa penari yang
keluar dari ruang pentas itu tidak mahu mengikuti dan tidak bersetuju dengan pemilihan
penari berbaju ungu menjadi ketua pemimpin. Bagi pakyung pula, beliau
meninggalkan ruang pentas dengan tenang kerana beliau merasakan ketua pemimpin
tersebut boleh mengetuai dan bertanggungjawab kepada kumpulannya.
Selain itu, pada pendapat
saya penggunan muzik oleh Ng Chor Guan di dalam persembahan ini sangat menarik
perhatian saya kerana ia tidak menggunakan 100 peratus bunyian rebab. Beliau menggunakan alat muzik elektronik yang
telah dikomposisikan muziknya secara gabungan muzik baru di antara tradisional
dan barat. Ciri-ciri bunyiannya masih lagi bersifat tradisional dengan bunyian
serunai yang sangat seimbang dengan gabungan muzik barat.
Pada keseluruhan penilaian
saya, yang mana koreografer Joseph Gonzales telah menghasilkan karya yang sangat
menarik dan mempunyai ciri-ciri permainan politik di dalam karya beliau. Apa
yang ingin disampaikan oleh beliau pada tanggapan saya ialah cara pemilihan
ketua pemimpin dengan mencari apakah sifat atau kriteria penting untuk menjadi
pemimpin pada masa kini dalam politik di Malaysia dan mencari makna yang relevan
dalam konteks persembahan kontemporari yang menarik pada masa kini.

No comments:
Post a Comment